Senaman ibu hamil bersyarat

Senaman ibu hamil bersyarat

Bantu tingkatkan emosi, tenaga

Bagi kebanyakan bakal ibu, berita kehamilan kebiasaannya disulami dengan kegembiraan, jangkaan, kebimbangan serta komitmen baru untuk memastikan pertumbuhan dan perkembangan bayi yang sihat. 
Persoalan sama ada untuk meneruskan atau memulakan program senaman bagi mengoptimumkan kesihatan bagi ibu dan bayi sering kali timbul. 

Langkah pertama untuk membantu menjelas persoalan ini adalah kebenaran dari doktor. Walaupun senaman semasa mengandung biasanya digalakkan, tetapi dalam sesetengah keadaan senaman boleh memudaratkan wanita mengandung dan janin yang semakin meningkat. Hanya selepas penilaian klinikal yang teliti, doktor boleh menentukan risiko senaman jika ada. 

Bersenam ketika mengandung menawarkan banyak manfaat fizikal dan emosi. Sebagai contoh, program senaman yang baik boleh membantu melegakan masalah biasa yang berkaitan dengan kehamilan seperti berat badan yang berlebihan, tangan dan kaki yang membengkak, kekejangan, insomnia, keletihan dan sembelit. 

Ia juga boleh membantu untuk mengekalkan postur dan peredaran darah yang baik, mengurangkan sakit belakang serta dapat meningkat emosi dan tenaga. 

Tambahan pula, anda akan merasa lebih baik dengan mengetahui bahawa anda sedang melakukan sesuatu yang baik untuk diri dan bayi anda. 


Sedar tahap kemampuan 
Pakar obstetrik dan ginekologi mencadangkan kepada wanita hamil yang dibenarkan untuk bersenam oleh doktor untuk melakukan aktiviti fizikal selama 30 minit dengan intensiti atau kekerapan sederhana setiap hari. 

Berjalan, berenang, berbasikal dan senamrobik secara sederhana adalah sangat berkesan dan secara umumnya selamat semasa mengandung, malah untuk seseorang yang ingin bermula. 

Berlari, sukan raket dan latihan bebanan apabila dilakukan secara sederhana adalah selamat untuk wanita hamil yang telah melakukan aktiviti-aktiviti ini sebelum mengandung. 

Walaupun aktiviti yang berat boleh dikaitkan dengan sekatan pertumbuhan, tetapi di bawah bimbingan doktor ia mungkin selamat untuk atlit untuk meneruskan program latihan. 

Apabila membuat sesuatu program senaman, ambil kira perubahan yang sedang anda alami seperti bentuk dan postur badan yang berbeza, kekuatan dan ketahanan yang berkurangan, tambahan berat badan yang menyebabkan tekanan pada sendi anda serta jantung yang bekerja lebih keras. 

Kunci utama adalah dengan membiarkan badan menjadi panduan. Anda patut tahu untuk berada pada intensiti yang tepat apabila boleh bercakap seperti biasa dan tidak menjadi terlalu letih dengan cepat. 

Elakkan juga aktiviti sukan yang berisiko tinggi untuk jatuh dan trauma seperti bola sepak, bola keranjang dan menunggang kuda. Aktiviti menyelam skuba boleh membawa maut kepada janin yang sedang membesar. 


Kenali tanda tidak kena 

Disebabkan bersenam berdua, anda perlu memberi perhatian teliti kepada tanda-tanda yang tidak kena, sama ada untuk diri atau bayi anda. Jika mengalami mana-mana tanda seperti berikut, berhenti bersenam dan pergi berjumpa doktor dengan segera. 

Pendarahan faraj 
Sesak nafas sebelum bersenam 
Pening 
Sakit kepala 
Sakit dada 
Otot lemah 
Betis lenguh atau bengkak 
Pergerakan janin berkurang 
Kebocoran cecair amniotik


Jika berminat untuk memulakan program senaman pra-kelahiran tetapi tidak tahu bagaimana untuk bermula, buatlah pertanyaan di pusat kecergasan, kelas senaman ibu mengandung atau di hospital. 
Untuk hasil yang terbaik, pastikan bahawa jurulatih atau tenaga pengajar anda mempunyai sijil dari organisasi yang bertauliah dan mempunyai latihan khusus dalam kecergasan ibu mengandung. 







No comments:

Post a Comment