Isteri bersalin, suami tertekan

OXFORD 15 April - Satu kajian mendapati suami yang menemani isteri mereka ketika bersalin berdepan tekanan sama seperti ibu-ibu yang mengalami tekanan untuk melahirkan bayi.

Mungkin dakwaan itu dianggap remeh oleh golongan ibu yang merasai sendiri kelahiran dan juga melalui pengalaman kehamilan yang sukar sepanjang sembilan bulan, namun kajian yang dilakukan oleh Universiti Oxford mendapati golongan bapa turut mengalami ketakutan mental.

Keadaan itu berlaku selepas menyaksikan pasangan mereka melalui kelahiran yang sukar menyebabkan mereka mengalami masalah tekanan selepas trauma (PTSD).

"Kebanyakan kes seperti ini berlaku melibatkan proses bersalin yang teruk termasuk kes kecemasan sehingga terpaksa menjalani pembedahan histerektomi (buang rahim).

"Kehamilan dan proses bersalin sebenarnya melalui tempoh yang panjang dan sukar dijangka. Ia memberi kesan terhadap mental dan fizikal, begitu juga hubungan kekeluargaan," kata Profesor Marian Knight yang mengetuai penyelidikan tersebut.

Kumpulan penyelidik mewawancara beberapa lelaki yang menyaksikan pasangan mereka melalui kelahiran termasuk pembedahan kecemasan.

Mereka menceritakan tentang keadaan dibiarkan sendirian di kaki lima hospital dengan gambaran yang sedikit tentang keadaan semasa isteri dan anak yang bakal dilahirkan.

Seorang bapa, Darren Dixon mengalami tekanan hingga hampir membunuh diri selepas melihat isterinya, Sarah, mengalami pendarahan teruk ketika melahirkan anak mereka melalui pembedahan.

Sarah terpaksa menjalani pembedahan membuang rahim berikutan komplikasi yang dialaminya dan bayi mereka, pula terpaksa dimasukkan ke unit rawatan rapi selepas itu.

"Saya mengalami pengalaman menakutkan menyebabkan saya disahkan menghidap masalah sindrom selepas trauma dan tidak boleh kembali bekerja," katanya. - AGENSI




60 Sebab Sayang Bayi


Kasih sayang adalah naluri yang ada pada setiap insan yang bergelar manusia. Begitu juga dengan kehadiran bayi  yang menjadi kesayangan buat mereka yang bergelar ibu bapa. Sudah tentu, detik-detik manis bersama bayi adalah sesuatu yang mengembirakan. NORHASLIZA YUSOFF menyediakan 60 sebab anda sayang kepada bayi. 

Bayi anda kelihatan sungguh comel apabila memakai baju yang cantik dan baru.

Bayi dan anda bermain di bilik sendirian dalam suasana yang nyaman.

.Anda menyanyikan lagu tepok amai-amai sambil memegang tangannya.

Bayi menujukkan riak wajah gembira apabila mendengar suara nyanyian anda walaupun  agak sumbang.

Seharian anda gembira apabila melihat bayi anda tersenyum buat kali pertama.

Anda dapat menghabiskan masa bersama bayi anda sambil menonton rancangan televisyen kegemaran anda.

Bayi anda tidak kisah apa jua permainan yang diberikan kepadanya. Bayi anda sentiasa menunjukkan rasa gembirannya walaupun hanya diberi permainan kotak kecil sahaja.

Anda boleh lakukan apa sahaja dengan bayi anda seperti menari sambil mendukungnya. Pastinya bayi seronok dengan gerakan ke kanan dan ke kiri.

Bayi akan sentiasa tersenyum apabila melihat wajah anda. Ia pengubat duka anda.

Anda bukan supermodel yang cantik dan menawan, tetapi bayi tetap suka melihat wajah anda siang dan malam.

Anda tetap hebat di hati bayi anda!

Rambut bayi lembut membuatkan anda suka membelainya.

Kasih sayang yang ditunjukkan oleh bayi adalah yang sebenar, tulus, dan murni.

Wajah bayi yang begitu suci membuatkan anda suka menatapnya setiap masa.

Badan bayi yang gebu membuatkan anda suka menyentuhnya bila-bila masa.

Bayi menjerit kegembiraan apabila melihat kelibat anda.

Tangisan bayi akan berhenti apabila anda dekat kepadanya.

Anda seronok berbual dengannya walaupun bayi belum faham apa yang anda ucapkan.

Bayi membuatkan anda merasakan dunia ini aman dan damai.

Ciuman anda akan membuatkan bayi tersenyum dan ketawa.

Sekali-sekala anda akan mengeletek badan bayi dan bayi akan menunjukkan aksi geli. Sungguh lucu sekali!

Bayi bertepuk tangan dan ketawa apabila melihat anda melangkah masuk ke dalam bilik.

Bayi seronok apabila anda mendukungnya.

Juga siapa lagi akan membuatkan anda bangun dengan penuh bersemangat waktu pagi. Pastinya bayi comel anda!

Bayi anda tersenyum semasa tidur, membuatkan anda merasakan  bayi sangat gembira dengan kehidupannya.

Anda sanggup menghabiskan masa yang lama untuk melihat bayi anda tidur yang membuatkan anda merasa gembira bergelar ibu atau bapa.

Pelbagai jenama pakaian dipasaran yang menawan hati anda untuk digayakan oleh bayi anda.

Jika anda sedang bersedih, bayilah  ‘pengubat’ hanya dengan melihat wajah bayi yang comel ini.
Sekarang masa anda banyak bersama bayi. Sungguh menyeronokkan!

Sungguh bahagia selepas 30 minit melihat bayi anda menyusu badan. (Penyusuan susu ibu seelokkan dilakukan antara 15 hingga 20 minit untuk setiap payu dara kanan dan kiri.)

Anda sunggup minum air dengan banyak dan makan makanan berkhasiat penambah susu dan pam susu 3 jam sekali (bagi ibu yang bekerjaya) setiap hari demi memastikan anda dapat memberikan penyusuan ibu secara eksklusif buat bayi anda. 

Comelnya kaki kecil bayi! Anda meniup dan mengusik-usik di telapak kakinya.
Tangan kecilnya juga comel!

Bayi adalah teman terbaik untuk anda habiskan masa berjam-jam di kedai permainan kanak-kanak.

Bayi anda mengajar anda menghargai masa walaupun ketika itu baru jam 5 pagi!

Bayi membuatkan anda tidur awal kerana anda tertidur selepas menyusu susu badan kepadanya.

Anda terlalu sibuk untuk memikirkan kesan parut selepas melahirkannya.

Bayi anda akan mendengar semula lagu-lagu anda semasa bayi dulu yang  hampir anda lupa.

Bayi anda sudah boleh makan. Walaupun wajahnya comot. Bayi anda tetap comel!

Bayi anda menunjukan keseronokkan semasa anda memandikannya.

Bau wangi badan bayi selepas mandi cukup menyenangkan anda.

Anda sanggup mencari mandian yang terbaik untuk bayi kerana kulit bayi begitu sensitif dan lembut.

Bayi anda memberikan senyuman semasa anda melakukan urutan padanya.

Anda tersenyum puas apabila bayi memandang ke arah ibu bapa anda yang kini sudah bergelar datuk dan neneknya.

Walaupun badan anda letih, tetapi tetap luangkan masa untuk membacakan buku cerita kanak-kanak kesukaan bayi anda berulang kali.

Walau apa yang berlaku dalam kehidupana anda, bayi tetap memikirkan anda yang terbaik dalam kehidupannya.

Gerakkan badan dan cara bayi merangkak atau membalingkan telefon kesayangan anda, semua itu anda anggap sebagai penerokaan buat bayi anda.

Anda mejerit kegembiraan apabila melihat bayi anda sudah boleh meniarap.

Bayi membuatkan anda berasa diri hebat, kuat dan tahan lasak yang anda tidak sedari sebelum kelahirannya. 

Anda menjadi penenang buat bayi dengan memeluk eratnya yang menangis setelah diberi suntikan imunisasi.

Gelagat bayi anda memasukkan jari kaki ke mulut, tampak comel sungguh!

Bayi anda sakit. Kekuatan supermum anda terserlah!

Anda menjaga bayi dengan penuh berhati-hati kerana dia masih kecil.

Anda menjadi seorang yang cerewat untuk membeli segala kelengkapan bayi supaya bayi selesa dan selamat dalam jagaan anda.

Wajah bayi seiras anda  dan suami. Anda tersenyum apabila ada teman berkata, “Mata bayi seiras seperti kamu.”

Setelah minum susu, anda akan sendawakan bayi.  Arrrr! Sungguh comel bunyi sendawa daripada permata hati anda yang kecil ini. 

Bayi mengajar anda menjadi seorang yang tidak pentingkan diri sendiri. Walaupun anda letih, anda tetapi memberi tumpuan kepada perkara asas bayi.

Anda dapat melihat kehebatan suami anda apabila sanggup menyalin lampin bayi. Biarpun dia tidak dapat menandingi anda tetapi dia berjaya menyalin lampin tanpa bayi menangis.

Anda dan suami tidak sabar untuk melihat perkembangan bayi setiap bulan.

Anda, suami dan bayi menjalani kehidupan yang harmoni sebagai sebuah keluarga.



Senaman ibu hamil bersyarat

Senaman ibu hamil bersyarat

Bantu tingkatkan emosi, tenaga

Bagi kebanyakan bakal ibu, berita kehamilan kebiasaannya disulami dengan kegembiraan, jangkaan, kebimbangan serta komitmen baru untuk memastikan pertumbuhan dan perkembangan bayi yang sihat. 
Persoalan sama ada untuk meneruskan atau memulakan program senaman bagi mengoptimumkan kesihatan bagi ibu dan bayi sering kali timbul. 

Langkah pertama untuk membantu menjelas persoalan ini adalah kebenaran dari doktor. Walaupun senaman semasa mengandung biasanya digalakkan, tetapi dalam sesetengah keadaan senaman boleh memudaratkan wanita mengandung dan janin yang semakin meningkat. Hanya selepas penilaian klinikal yang teliti, doktor boleh menentukan risiko senaman jika ada. 

Bersenam ketika mengandung menawarkan banyak manfaat fizikal dan emosi. Sebagai contoh, program senaman yang baik boleh membantu melegakan masalah biasa yang berkaitan dengan kehamilan seperti berat badan yang berlebihan, tangan dan kaki yang membengkak, kekejangan, insomnia, keletihan dan sembelit. 

Ia juga boleh membantu untuk mengekalkan postur dan peredaran darah yang baik, mengurangkan sakit belakang serta dapat meningkat emosi dan tenaga. 

Tambahan pula, anda akan merasa lebih baik dengan mengetahui bahawa anda sedang melakukan sesuatu yang baik untuk diri dan bayi anda. 


Sedar tahap kemampuan 
Pakar obstetrik dan ginekologi mencadangkan kepada wanita hamil yang dibenarkan untuk bersenam oleh doktor untuk melakukan aktiviti fizikal selama 30 minit dengan intensiti atau kekerapan sederhana setiap hari. 

Berjalan, berenang, berbasikal dan senamrobik secara sederhana adalah sangat berkesan dan secara umumnya selamat semasa mengandung, malah untuk seseorang yang ingin bermula. 

Berlari, sukan raket dan latihan bebanan apabila dilakukan secara sederhana adalah selamat untuk wanita hamil yang telah melakukan aktiviti-aktiviti ini sebelum mengandung. 

Walaupun aktiviti yang berat boleh dikaitkan dengan sekatan pertumbuhan, tetapi di bawah bimbingan doktor ia mungkin selamat untuk atlit untuk meneruskan program latihan. 

Apabila membuat sesuatu program senaman, ambil kira perubahan yang sedang anda alami seperti bentuk dan postur badan yang berbeza, kekuatan dan ketahanan yang berkurangan, tambahan berat badan yang menyebabkan tekanan pada sendi anda serta jantung yang bekerja lebih keras. 

Kunci utama adalah dengan membiarkan badan menjadi panduan. Anda patut tahu untuk berada pada intensiti yang tepat apabila boleh bercakap seperti biasa dan tidak menjadi terlalu letih dengan cepat. 

Elakkan juga aktiviti sukan yang berisiko tinggi untuk jatuh dan trauma seperti bola sepak, bola keranjang dan menunggang kuda. Aktiviti menyelam skuba boleh membawa maut kepada janin yang sedang membesar. 


Kenali tanda tidak kena 

Disebabkan bersenam berdua, anda perlu memberi perhatian teliti kepada tanda-tanda yang tidak kena, sama ada untuk diri atau bayi anda. Jika mengalami mana-mana tanda seperti berikut, berhenti bersenam dan pergi berjumpa doktor dengan segera. 

Pendarahan faraj 
Sesak nafas sebelum bersenam 
Pening 
Sakit kepala 
Sakit dada 
Otot lemah 
Betis lenguh atau bengkak 
Pergerakan janin berkurang 
Kebocoran cecair amniotik


Jika berminat untuk memulakan program senaman pra-kelahiran tetapi tidak tahu bagaimana untuk bermula, buatlah pertanyaan di pusat kecergasan, kelas senaman ibu mengandung atau di hospital. 
Untuk hasil yang terbaik, pastikan bahawa jurulatih atau tenaga pengajar anda mempunyai sijil dari organisasi yang bertauliah dan mempunyai latihan khusus dalam kecergasan ibu mengandung.